Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jenayah di pusat beli-belah tak sebanyak dilapor media sosial'
Diterbitkan:  Jul 17, 2012 8:13 AM
Dikemaskini: 12:22 PM

Kes jenayah di pusat beli-belah sebenarnya tidak banyak seperti dilapor media sosial kerana sehingga kini hanya enam kes berlaku di Selangor dan dua di Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

    

Beliau berkata kes tersebut kelihatan serius apabila kejadian-kejadian yang berlaku dilaporkan secara berlebihan di media-media sosial.

"Bila masyarakat mula menyebut mengenai kes itu kami segera memberi respon terhadapnya dengan turun bertemu pemilik pusat beli-belah dan masyarakat bagi menerangkan langkah-langkah yang sedang dan akan diambil polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes jenayah di pusat beli-belah, dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) Bhd di Bukit Aman semalam.

    

Ismail berkata beliau juga telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis negeri dan daerah bagi mencari mekanisme terbaik mengurangkan jenayah terutamanya di pusat beli-belah.

    

Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan berjumpa dengan empat Ketua Polis negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan membincangkan langkah yang perlu diambil bagi mencegah jenayah di kawasan tumpuan penjenayah termasuk di kawasan letak kereta pusat membeli-belah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS