Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Media baru bukan penentu utama kejayaan PRU13'

Media baru bukan menjadi faktor penentu utama dalam memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang meskipun ia mampu mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesebuah parti.

    

Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz berkata media baru merupakan satu daripada komponen yang berperanan dalam mempengaruhi pola dan corak pemikiran serta landskap politik.

    

"Media baru membantu membentuk persepsi masyarakat menyokong parti tertentu, namun ia bukan penentu kemenangan, sebaliknya pelaksanaan dasar kerajaan yang akan menjadi kayu pengukur kejayaan.

    

"Dalam politik, media baru membantu merapatkan pemimpin dengan rakyat agar dapat memberi respon dengan cepat termasuk menangkis tuduhan terhadap pemimpin serta menyebarkan mengenai polisi parti yang diwakili," katanya.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi anggota panel program 'Radar Khas Siri 4' bertajuk 'Perang Media Baru-Faktor Penentu PRU13' anjuran Radio24 dan AntaraPos.com, sebuah portal berita televisyen swasta, di Wisma Bernama semalam.

Turut serta dalam diskusi itu ialah ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Parti

Keadilan Rakyat (PKR) dan pakar sains sosial yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Abdul Latif Bakar.

    

Tun Faisal berkata media baru berupaya memberi impak tersendiri dalam memperkuatkan jentera sesebuah parti memandangkan Malaysia mencatatkan kira-kira 13 juta pengguna Facebook dan dua juta pengguna Twitter.

    

"Kini ada banyak platform media baru. Orang ramai tidak lagi bergantung pada informasi media konvensional seperti surat khabar mahupun berita 8 malam (media penyiaran) kerana semua maklumat berada di tapak tangan," katanya.

    

Dalam pada itu, beliau berkata 'cybertrooper', 'keyboardwarrior' dan blogger dari mana-mana parti yang menyebarkan berita palsu dan fitnah selain kebencian, perlu dikenakan tindakan.

    

Abdul Latif pula berkata garis panduan dan kawalan perlu dibuat terhadap media baru agar tidak melanggar norma serta menggalakkan sikap negatif.

"Media baru sekarang memainkan peranan penting meskipun tidak semestinya mempengaruhi masyarakat untuk membuang undi.

    

"Kini banyak cybertrooper dan blogger dalam media baru yang tidak rasional dan menyebarkan aura negatif serta bertelagah...ia perlu kawalan agar tidak menjejaskan ketenteraman negara," katanya.

    

Sementara itu, Nik Nazmi turut bersetuju bahawa media baru bukan faktor penentu kejayaan pilihan raya umum tetapi berpendapat ia adalah medium yang boleh memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

    

Beliau berkata masyarakat terutamanya golongan muda kini beralih ke media baru kerana mahu melihat pandangan yang lebih seimbang.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS