Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PAS guna artis kerana tertekan dengan BN'
Diterbitkan:  Jul 21, 2012 10:34 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

PAS yang dahulu tidak menggemari golongan artis, kini mungkin memerlukan kerjasama artis dalam kempen mereka di Kelantan kerana tertekan dengan kejayaan BN mendekati golongan muda, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata BN telah berjaya menarik golongan muda menerusi program kesukarelawan 1Malaysia Youth For You (1M4U) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lepas dan ia memberi tekanan kepada PAS.

Katanya dahulu di Kelantan persembahan artis termasuk dikir barat dan Mak Yong diharamkan dan PAS juga tidak begitu gemar dengan golongan artis kerana didakwa terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

"Tetapi kini mereka perlu mencari pendekatan baharu untuk mendekati golongan muda yang merupakan kelompok penting pengundi," katanya ketika diminta mengulas usaha PAS Kelantan membawa artis ke negeri itu untuk berkempen.

Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menutup dan menyampaikan hadiah kepada peserta Konvensyen 1Malaysia-Young Entrepreneur Challenge 2011/2012 di Shah Alam hari ini.

Beliau bekata BN sejak dahulu mesra dengan golongan artis kerana mereka mempunyai kemampuan mengeratkan hubungan parti itu dengan anak muda.

Katanya golongan artis bukan hanya terhad kepada pelakon dan penyanyi tetapi melibatkan pengamal dikir barat, Mak Yong, pesilat serta ahli tomoi dan budayawan.

- Bernama

ADS