Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pakatan Rakyat menggesa kerajaan dan pemimpin BN supaya menghentikan tuduhan buruk ke atas Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) selepas mahkamah hari ini mengisytiharkan gabungan itu bukan pertubuhan haram.

Salah seorang anggota Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat, Tian Chua berkata beliau berharap BERSIH tidak lagi disifatkan sebagai perosak atau perusuh selepas ini.

"Tahniah kepada (pengerusi bersama BERSIH) Pak Samad, (Datuk S) Ambiga dan ramai lagi pemimpin lain yang menunjukkan pendirian tegas dan berani dalam hal ini.

"Kini keadilan telah memutuskan bahawa BERSIH bukan satu pertubuhan haram. Saya harap tiada lagi tuduhan yang berniat jahat yang menuduh BERSIH itu kumpulan haram, perosak, perusuh dan di dalangi komunis," kata Chua pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu juga ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lalu bahawa BERSIH adalah sebuah pertubuhan 'haram'.

Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya pagi ini berkata BERSIH telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Dalam sidang media sama, Mustafa berkata, keputusan mahkamah itu juga menunjukkan bahawa tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melabelkan kumpulan yang mengadakan perhimpunan BERSIH di Mekah dan Madinah sebagai golongan "mufsidun" adalah tidak tepat.

"Organisasi itu bukan organisasi haram. Selama ini Najib kata ' mufsidun '. 'Mufsidun' itu maksudnya perosak. Jadi, kalau tidak kena istilah itu akan berbalik pada dia. Ini tidak betul.

"Keputusan hari ini ialah berdasarkan pada undang-undang. Dan salah tanggap yang dibuat oleh BN terhadap BERSIH sebelum ini dapat dimatikan dengan keputusan ini," katanya lagi.

Sementara itu, Pemuda Pakatan - yang bersyukur dan gembira dengan keputusan mahkamah hari ini - mendesak kerajaan memohon maaf dengan kepada BERSIH dan peserta perhimpunan itu susulan tindakan kasar yang dilakukan oleh pihak keselamatan terhadap peserta gabungan itu.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengingatkan kerajaan bahawa sikap ‘serkap jarang’ atau menghukum sebelum diputuskan bersalah adalah tindakan yang tidak wajar.

"Kerajaan tidak sepatutnya menghukum BERSIH sebagai haram hanya kerana ia adalah pertubuhan yang didakwa tidak selari dengan selera kerajaan serta bersuara bagi pihak rakyat seluruhnya," kata ketua penerangan DPPM Riduan Mohd Nor.

Manakala, menyuaraka desakan yang sama,  Timbalan Ketua Penerangan AMK Najwan Halimi pula berkata Najib dan Hishammuddin perlu memohon maaf sekiranya mereka menghormati undang-undang dan perlembagaan.

"Jika di negara-negara maju dan bertamadun, pemimpin yang melakukan kesilapan terhadap rakyat akan tampil memohon maaf secara terbuka, bahkan ada yang meletakkan jawatan demi menjaga integriti serta reputasi kerajaan dan imej negara," katanya.

Sementara Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Pemuda PAS (Juham) pula berpendapat keputusan hari ini turut "memberikan dimensi baru kepada hak asasi".

 

Institusi Kehakiman, kata pengarah Juham, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi,  haruslah dilihat konsisten dalam memastikan mereka dilihat adil dan bebas dan tidak diperalatkan.

Juham juga melihat keputusan itu sebagai penghargaan kepada perjuangan rakyat yang dianggap tidak gentar dan jemu berjuang dalam menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

 

ADS