Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sedia kaunter polis supaya pengunjung rasa selamat'

Pusat membeli-belah digesa supaya menyediakan kaunter polis supaya orang ramai akan berasa lebih selamat.

Ketika membuat gesaan itu, seorang pengunjung Mid Valley, Wan Mohd Afif Wan Sharkawi, 27, berkata pihak polis juga perlu membuat rondaan di setiap aras dan di kawasan parkir.

Walaupun pegawal keselamatan sudah sedia ada, tetapi, tegasnya, dengan adanya pihak polis, orang ramai akan berasa lebih selamat.

"Saya rasa perlu ada kaunter polis dan polis juga perlu memantau setiap aras. Sebab bila ada polis, orang ramai macam ada perasaan selamat.

"Lagipun menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan orang ramai," katanya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop meninjau sekitar pusat membeli-belah tersebut bersama dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.

Ia ekoran kebimbangan pengunjung pusat membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur ekoran beberapa kejadian jenayah yang dilaporkan berlaku, khususnya di kawasan parkir.

Manakala seorang wanita hampir menjadi mangsa ragut baru-baru ini, yang didakwa berlaku di dalam tandas di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya.

Sementara itu, seorang pelajar, Ida Yasmin Mazlan, 23 berkata, dia memang takut terutama ketika berada di kawasan parkir.

Oleh itu, katanya, kawalan keselamatan perlu ditingkatkan di kawasan parkir, kawasan sunyi dan gelap.

"Saya bimbang juga dengan apa yang berlaku. Lagi-lagi wanita. Saya harap tahap keselamatan ditingkatkan. Banyakkan lagi pengawal dan adakan satu kawasan parkir khas untuk wanita," katanya kepada Malaysiakini.

 

Selain itu, seorang peniaga kerongsang dan barangan pewter yang mahu dikenali sebagai Siti, 20, berkata, sebagai peniaga, beliau tidak bimbang jika berada di kawasan yang ramai orang.

"Keselamatan itu perlu lebih ketat dan diri sendiri perlu berwaspada. Bukan pada pihak berkuasa sahaja," kata Siti.

ADS