Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR menyeru mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) tampil memberi tekanan politik, antaranya melalui penganjuran demonstrasi, supaya perjanjian konsesi yang menyebabkan kenaikan yuran dibatalkan.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, tindakan itu bersesuaian kerana pemilik syarikat terbabit Redha Resources Sdn Bhd (RSSB) Sulaiman Abdul Razak seorang ahli politik yang "faham bahasa politik".

NONE "Satu jalan yang ada saya nampak ialah perlu beri tekanan politik. Orang politik ini dia takut kalau rakyat tak suka dia. Orang politik ini macam masuk AF (Akedemi Fantasia).

"Ada baiknya juga tuan punya syarikat Redha ini (seorang) ADUN. Dia tertakluk pada kuasa rakyat," katanya merujuk kepada ADUN BN Permatang Sulaiman Abdul Razak.

Pada 3 Mei lalu, Rafizi dilaporkan sebagai mendakwa konsesi sewa asrama yang mahal dan berat sebelah untuk menguntungkan pimpinan Umno menjadi punca pengurusan KUIS tidak dapat menurunkan yuran.

Menurutnya, pada 2007, Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) yang dikuasai Sulaiman dianugerahkan kontrak pembinaan itu bagi menampung keperluan 6,000 pelajar KUIS, lapor Sinar Harian .

'RRSB sewakan kembali 33 tahun'

Beliau juga mendakwa, kerajaan Selangor pimpinan BN pada masa itu menetapkan bahawa RRSB akan diberikan konsesi membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS.

Dalam sesi dialog dengan mahasiswa kolej itu malam tadi, Rafizi berkata, mahasiswa KUIS sendiri perlu mendesak Sulaiman tampil berbincang bagi menyemak semula perjanjian dan membatalkan syarat berat sebelah.

NONE "Siapa (peserta) dari Permatang? Lantik dia jadi penghulu dan tunjuk perasaan depan rumah ADUN Permatang. Sebab dia rakyat Permatang dan mewakili pengundi," katanya.

Ini kerana, katanya, ahli politik seperti Sulaiman ( kiri ) lazimnya sensitif pada tindak balas negatif baik daripada rakyat atau pengundi.

"Cara bawa isu ini pada beliau ialah dengan rayu pada pengundi beliau supaya minta simpati dengan pelajar. Cara lain saya tak nampak. Orang politik hanya faham bahasa politik sahaja. Malah boleh ugut untuk dia kalah pilihan raya nanti" kata Rafizi lagi.

Pelbagai pihak, termasuk mahasiswa KUIS dan ibu bapa sebelum ini mengadu yuran pengajian di situ membebankan.

Dialog kira-kira sejam itu dihadiri kira-kira 150 orang mahasiswa KUIS. Turut kelihatan Pengerusi kumpulan mahasiswa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang.

Sulaiman pada 11 Julai lalu bagaimanapun dilapor menjelaskan beliau mendapat projek itu kerana kemampuan syarikatnya.

Malah, katanya, beliau mendapat kontrak itu ketika belum menjadi ADUN dan perjanjian diteliti Unit Perancangan Negeri (UPEN) dan pegawai Undang-Undang negeri, lapor Free Malaysia Today .

Manakala bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo pula dilapor berkata, beliau tidak terbabit dengan urusan pembinaan asrama KUIS kerana pembinaannya diurus sendiri oleh pentadbir universiti dengan syarikat berkenaan.

ADS