Umno Kelantan akan cuba menyelesaikan beberapa isu dibangkitkan pembangkang sebelum pilihan raya umum akan datang untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa isu itu semata-mata untuk meraih undi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata apa yang dibuat oleh Umno adalah berlandaskan undang-undang negara.
"Kita akan selesaikan setiap isu dengan cara berhemah kerana ia melibatkan undang-undang. Kita mempunyai mahkamah yang memberi ruang kepada semua pihak (untuk berhujah)," katanya kepada pemberita ketika majlis 'Makan Colek Bersama Media' yang dihadiri kira-kira 50 pengamal media di Kota Bharu malam tadi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata anggota Umno perlu menyokong setiap calon yang dipilih pucuk pimpinan parti pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita semua perlu bersatu pada PRU ini kerana jika ada perpecahan, laluan menawan Kelantan dilihat amat sukar,"katanya.
Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, Umno Kelantan yakin mampu menawan 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membolehkannya mentadbir Kelantan.
"Sehubungan itu, kita kena bekerja bersungguh-sungguh dan jentera parti pula kena bersemangat bekerja untuk melihat perubahan yang lebih baik di Kelantan," katanya.
- Bernama
