Komposer: Lagu merdeka belum dimuktamadkan

Lagu 'Janji Ditepati' masih dalam peringkat pengolahan dan belum dimuktamadkan untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos ini, kata penggubahnya Jasnie Mohd Yaakub.

Beliau berkata lagu itu merupakan karya asli beliau bersama dua komposer lain iaitu Arman E Six dan Aye.

Justeru, beliau menafikan persamaan lagu itu dengan sebuah lagu kerohanian dari Indonesia.

"Lagu ini belum finalise lagi. Kami olah dari peringkat ke peringkat sehingga ke tahap terakhir. Jika sudah diluluskan untuk ke peringkat final, baru kami akan muktamadkan.

"Ilham lagu ini datang secara tiba-tiba, (kami) tak ikut mana-mana lagu pun," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Arman dan Aye di ibu pejabat Erama records di Kuala Lumpur, hari ini.

Jasnie, yang juga NONEpenerbit dan pengarah muzik di Erama Records, menjelaskan beliau hanya mengetahui kewujudan lagu yang didakwa sesetengah pihak sebagai hampir sama dengan lagu 'Janji Ditepati' semalam dan mendengar melodinya hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat sedikit persamaan kord dan rentak tetapi bukan dari sudut melodi lagu.

"Di mana-mana di seluruh dunia pun ada (lagu) guna rentak pop, rock, doremi dan sebagainya. Mana-mana komposer cubalah nilai melodi lagu itu, sama atau tidak dengan lagu Janji Ditepati. Memang tak sama," jelasnya.

Kontroversi persamaan lagu tema Hari Kemerdekaan dengan lagu negara jiran itu dibangkitkan penulis blog beberapa hari lepas selain ia dimuat naik dalam 'Youtube'.

Jasnie menegaskan bukan mereka yang memuat naik lagu 'Janji Ditepati' di 'Youtube' kerana ia belum muktamad lagi.

Mengenai proses awal penggubahan lagu 'Janji Ditepati', beliau menjelaskan bahawa mereka mengambil masa kira-kira dua hari untuk menghasilkan melodi berdasarkan lirik yang diberi.

"Lagu itu pada mulanya digubah dalam bentuk 'hip hop'. Lagu ini kami belum terbitkan lagi, cuma sudah diperdengarkan semasa pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang baru-baru ini," katanya sambil menambah sehingga hari ini, lagu 'Janji Ditepati' telah diubah sebanyak empat kali.

Ditanya sama ada isu ini menjejaskan proses penggubahan lagu yang masih belum selesai dan kemungkinan menukar lagu sedia ada, Jasnie berkata: "Tidak sama sekali."

"Takkan ubah. Saya tetap dengan pendirian saya. Kalau saya ubah nanti orang kata 'betullah dia tiru, sekarang dia ubah'. Tapi terpulanglah kalau ada permintaan mana-mana pihak," tegasnya.
Beliau berharap penjelasan itu dapat merungkaikan persoalan yang berbangkit sambil meminta ia tidak lagi disamakan dengan lagu lain.

Jasnie merupakan seorang penggubah lagu profesional dan pernah terlibat dalam pembikinan album beberapa artis tempatan termasuk Noraniza Idris, Hazama serta Mila selain pernah memenangi beberapa anugerah penciptaan lagu di peringkat kebangsaan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.