'Janji Ditepati' akan tetap digunakan sebagai slogan sambutan hari kemerdekaan ke-55 negara ini kerana ia keputusan bersama yang dibuat oleh kabinet, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"KPKK teguh dengan tema itu tidak tidak akan berganjak. Kami di kementerian bertanggungjawab menterjemahkan kejayaan negara selama 55 tahun kebelakangan ini lantas menjiwainya dengan isian setimpal," katanya.
Menulis panjang lebar di Twitter hari ini, Rais turut menyelar akhbar Malay Mail yang mengkritiknya dan tema 'Janji Ditepati' melalui ruangan editorialnya.
"Yang dimainkan Malay Mail itu merupakan gara-gara politik pembangkang yang tak senang dengan pencapaian dan kejayaan setakat ini," katanya lagi,
Rais mendakwa, pembangkang dan "sekutunya" kini berasa terhimpit dengan slogan sedia ada kerana mereka ini "ketara sangat tidak ada rekod pencapaian".
