Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris meminta masyarakat Islam di Johor supaya tidak mudah diperdaya oleh individu tertentu yang mahu memecahbelahkan perpaduan yang sedia terjalin di antara mereka.
    
Menurut Tunku Ismail, kitab suci al-Quran juga menyatakan dengan jelas bahawa umat Islam akan menjadi kucar-kacir dan mudah dikalahkan oleh musuh jika mereka tidak bersatu padu.
    
"Jangan terpedaya dengan individu-individu tertentu yang mahu memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan umat Islam. Umat Islam yang berpecah-belah akan mudah dikalahkan oleh musuh mereka," katanya semalam.
    
Tunku Ismail  berkata demikian ketika berucap pada majlis khatam al-Quran peringkat negeri Johor yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan barisan exco kerajaan negeri di Masjid Jamek Kluang.
    
Tunku Mahkota Johor itu juga berkata perpaduan umat Islam perlu digembleng seperti 'aur dengan tebing' sebagaimana nasihat Almarhum nendanya kepada beliau tidak lama dahulu.
    
Menurutnya perpaduan umat Islam juga amat penting kerana ia adalah asas kepada kemajuan.
    
Sementara itu Tunku Mahkota Johor juga menasihatkan umat Islam supaya berwaspada dengan berita-berita yang tidak dapat disahkan kebenarannya dan supaya tidak mempercayainya.
    
Tunku Mahkota Johor juga meminta supaya sebarang perbuatan yang memperlekehkan atau yang mengaibkan orang lain itu dihentikan kerana ia tidak menepati ajaran al-Quran.

- Bernama