Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memberi anugerah insentif RM100,000 kepada Datuk Lee Chong Wei atas kejayaannya menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua pingat perak di Sukan Olimpik.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, anugerah itu juga sebagai menghargai usaha gigih Lee dalam Sukan Olimpik London 2012 serta sebagai galakan untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016.

Anugerah insentif tersebut, katanya, akan diberi melalui program ganjaran Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) untuk olahragawan Pulau Pinang yang bertaraf dunia.

"Walaupun terkecundang kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir, Datuk Lee telah berusaha dengan gigih dan menimbulkan rasa bangga setiap rakyat Malaysia," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini

NONE"Akhirnya, kedua-dua Lin Dan dan Datuk Lee telah menitis air mata. Bagi pemenang, kerana berjaya mengalahkan seorang lawan yang sangat layak iaitu Datuk Lee yang hanya kalah dengan 2 mata untuk meraih pingat emas Olimpik pertama Malaysia.

"Walaupun gagal memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia, Datuk Lee telah menjadi juara Olimpik dalam hati setiap rakyat Malaysia.

"Negeri Pulau Pinang berasa bangga dengan kejayaan juara badminton dari Bukit Mertajam ini," kata Lim.

Menurutnya, walaupun semua rakyat Malaysia turut berkongsi kekecewaannya, "tetapi semangat perjuangan dan keupayaan bertaraf dunia Lee memberi inspirasi kepada kita dan telah menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa".

"Pulau Pinang akan memberi sokongan penuh kepada Datuk Lee untuk mencapai pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016, yang akan juga membantu mempersiapkan pengganti yang layak," tegas Lim.