Rumah kediaman anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Datuk Rosol Wahid musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, di Hulu Terengganu, Selasa malam.

Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan.

Rosol berkata ketika kejadian, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah kerana berbuka puasa dan bertarawih di luar.

Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya Toh Puan Halipah Ahmad yang pulang daripada berbuka puasa di rumah kakaknya di Kampung Baung, di sini.

"Sebaik dia membuka pintu rumah isteri melihat kepulan asap dan api marak dari bahagian dapur rumah lantas menelefon saya memaklumkan insiden itu," katanya ketika ditemui malam tadi.

- Bernama