Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak polis berbaiah dengan kerajaan bertujuan memastikan pegawai pasukan keselamatan itu terus terikat dengan sehingga bersara, dakwa Pemuda PAS.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor mendakwa, tindakan itu sebenarnya reaksi terhadap trend bekas pegawai kanan polis menyertai PAS, seperti bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari.

riduan mohd nor"Cadangan ini dilontarkan mungkin kerana kerajaan BN merasa gerun dengan kebangkitan rakyat dan penyertaan bekas pegawai tinggi kerajaan (ke dalam PAS), khususnya dari PDRM memberi impak yang besar kepada Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-13.," kata Riduan.

Malahan, katanya, terdapat ura-ura akan terdapat lagi bekas pemimpin tertinggi lain PDRM akan menyertai parti Islam itu tidak lama lagi.

Najib kelmarin meminta PDRM berbaiah dengan kerajaan untuk membantu mengharmonikan negara supaya kedua-dua pihak dapat sama-sama membantu ke arah negara yang lebih selamat, harmoni dan masa depan lebih cemerlang.

Dalam kenyataannya hari ini, Riduan berkata, pihaknya musykil sama ada Najib menaruh syak sama ada ada anggota polis akan membelot atau mengkhianati tugas sekiranya tidak berbaiah.

"Apakah selama ini PDRM tidak berbaiah negara tidak berada dalam keadaan aman dan harmoni?" katanya lagi.

Katanya, Pemuda PAS merasakan tarbiah (pendidikan) supaya anggota polis berlaku jujur, serta menjauhi rasuah lebih penting daripada mengajak mereka berbaiah.

"Dalam hal ini, kerajaan tidak perlu kerajaan menyekat pegawai kerajaan agar terus menyokong mereka melalui baiah yang dicadangkan.

"Hormati nilai demokrasi yang memberi pilihan kepada rakyat memilih parti yang mereka suka, dan itu adalah hak mereka di negara ini," katanya.