"Kalau minta pendapat saya, jika ia menembak secara menegak, mungkin boleh tercedera.
"Tetapi kalau nak cedera parah itu susah sebab jika ia ditembak ke atas, kanister akan jatuh perlahan," kata ASP Alekzandra Dawam, pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawal selia pasukannya di Jalan TAR, Kuala Lumpur pada hari itu.Bercakap kepada panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini, ketua unit FRU 4B daripada markas FRU Cheras itu bagaimanapun berkata, tiada peserta BERSIH yang tercedera semasa unit seliaannya bertugas.
Menurut Alekzandra, bergantung bagaimana cara ia ditembak, kanister gas pemedih mata boleh meluncur sejauh 50 hingga 150 meter.
Beliau berkata demikian ketika ditanya panel inkuiri, Detta Samen mengenai bagaimana peluru kanister boleh terkena mata dan tangan peserta BERSIH.
Sebelum ini, seorang peserta perhimpunan BERSIH 3.0 mungkin tidak dapat menceburi kerjaya sebagai jurutera mekanikal apabila diagnosis klinikal menunjukkan beliau buta setelah terkena satu kanister gas pemedih mata.
Asrul Wadi Ahmad, 27, terkena kanister gas pemedih mata di mata kirinya ketika menghadiri perhimpunan proreformasi sistem pilihan raya itu.
'Ikut prosedur, boleh guna senjata api'
Selain itu, menurut pegawai FRU yang telah berkhidmat selama 5 tahun itu, kanister seberat kira-kira 250 gram akan menjadi panas selepas ditembak.
Jelasnya, sekiranya kanister yang ditembak jatuh mengenai kening seseorang sekalipun, ia hanya boleh menyebabkan kecederaan minimum dan tidak sehingga melecur.
Selain itu, ketika ditanya sama ada adakah perlu menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan itu, Alekzandra berkata, perlu.
Hal ini kerana, setelah menggunakan cara yang minimum tidak dihiraukan iaitu menyembur 'air kosong', maka gas pemedih mata dan meriam air yang telah bercampur bahan kimia perlu digunakan bagi
"Kalau nak diikutkan lagi prosedur FRU, kita boleh tembak menggunakan senjata api. Tetapi selama 55 tahun FRU ditubuhkan, kita tak pernah lagi guna.
"Kesan menggunakan meriam air yang telah bercampur bahan kimia ialah akan berasa panas, pedih dan timbulkan panik," kata Alekzandra sambil menambah, unitnya telah melepaskan sebanyak 112 gas pemedih mata semasa perhimpunan itu.
"Dalam 112 gas pemedih mata yang kita tembak, hampir semua berpatah balik.
"Saya boleh cakap semua. Mereka ambil dan baling balik tetapi tak sampai," katanya lagi.
