Selangor menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju supaya kerajaan negeri melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA)
"Sememangnya kerajaan negeri telah lama bersedia untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di negeri ini selaras dengan WSIA," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan memanggil semula empat pemegang konsesi bagi menyelesaikan pengambilalihan syarikat konsesi berrdasarkan harga pasaran yang munasabah.
Bagi mempercepatkan proses tersebut, tambahnya, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai setiausaha kerajaan negeri untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut selewat-lewatnya September 2012.
"Sekiranya pemegang konsesi tidak menerima nilai yang ditawarkan, mereka boleh merujuk kepada badan timbangtara bebas yang akan memutuskan nilai yang sepatutnya. Kerajaan negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut.
"Kerajaan negeri juga akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan proses pemajakkan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air diselesaikan serentak," katanya.
Pada masa sama, kata menteri besar, pemantauan ke atas Syarikat Bekalan Selangor Air Sdn Bhd (SYABAS) akan diteruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa.
"Kerajaan Negeri komited dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah," katanya.
