Malaysia mengeksport ubat-ubatan yang dihasilkan melalui minyak sawit bernilai kira-kira RM600 juta pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nilai eksport itu dijangka bertambah lapan peratus lagi tahun ini, memandangkan ubat-ubatan keluaran negara diakui berkualiti dan mendapat banyak permintaan.

"Malaysia mengeluarkan antaranya produk ubat-ubatan jenis penahan sakit, vitamin C, antioksiden dan lain-lain dengan mendapat pasaran baik di luar negara.

"Kerajaan menggalakkan pengusaha perubatan tempatan menggunakan sumber asli yang kita ada dalam mengusahakan ubat-ubatan kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan harga bahan asli itu serta turut meningkatkan produk perubatan dan hasil negara," katanya.

Liow berkata demikian kepada pemberita selepas beliau dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyampaikan wang 'durian runtuh' dan wang hari raya kepada peneroka Felda kawasan Parlimen Bentong di Felda Cemomoi, dekat Bentong semalam.

Katanya negara akan menggunakan sebaik mungkin komoditi seperti kelapa sawit di dalam menghasilkan lebih banyak ubat-ubatan menggunakan teknologi canggih untuk eksport di masa akan datang.

Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata, minyak kelapa sawit bukan sahaja digunakan untuk membuat sabun, kek dan barangan keperluan wanita, malah boleh digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan berkualiti.

"Masa depan peneroka Felda akan menjadi lebih terjamin dan meningkatkan pendapatan kerana kelapa sawit kini semakin mendapat pasaran baik di luar negara, di samping penyenaraian FGVH (Felda Global Ventures Holdings) di Bursa Malaysia yang akan mengubah taraf kehidupan mereka dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

- Bernama