Bank Negara Malaysia hari ini membuat pendakwaan pertama ke atas sebuah syarikat pengurup wang dan pengarah syarikatnya di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Kewangan 2011 sejak akta tersebut dikuatkuasa pada Disember tahun lalu.
Syarikat Let Seng Enterprises Sdn Bhd dari Sungai Rengit, Pengerang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan menjalankan operasi perniagaan perkhidmatan wang (pengurupan wang) tanpa lesen yang sah.
Kesalahan mengikut Seksyen 4(1) akta tersebut dilakukan di premis syarikat yang beralamat di No 72, Jalan Besar, Sungai Rengit, Pengerang pada 2.25 petang 13 Jun lalu.
Jika sabit kesalahan syarikat tersebut boleh didenda tidak melebihi RM5 juta mengikut Seksyen 4(4) akta sama.
Pengarah syarikat tersebut, Koh Chye Teck, 47, turut menghadapi pertuduhan sama melakukan kesalahan itu di premis syarikat serta masa yang sama.
Dia yang mengaku tidak bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) yang dibacakan bersama Seksyen 80 akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Salawati Djambari menetapkan 21 September untuk tarikh sebutan kes dan membenarkan Koh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia, Riduan Baba dan Mohd Haziq Razali manakala tertuduh diwakili peguam R.K. Menon.
Penguatkuasaan akta itu adalah berikutan pemansuhan Akta Pengurupan Wang 1998 dan bertujuan menyokong pembangunan industri perniagaan perkhidmatan wang yang lebih dinamik, berdaya saing dan profesional sambil memperkukuh perlindungan daripada pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan aktiviti haram.
- Bernama
