Dua projek kerjasama awam-swasta bernilai ratusan juta ringgit di Tawau dan bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara serta penduduk setempat kini pada tahap pelaksanaan, kata Ketua
Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Katanya projek perjanjian kerjasama pelaksanaan projek janakuasa elektrik menggunakan kuasa geotermal di Apas Kiri, yang berkeupayaan menjana kira-kira 30MW tenaga melibatkan pelaburan swasta hampir RM500 juta, dan projek Sipadan Mangrove Resort yang nilai pelaburannya yang tidak dinyatakannya, sudahpun ditandatangani.
"Projek di Tawau ialah projek geotermal. Ianya merupakan pelaburan swasta tetapi kerajaan memberi bantuan dana lebih kurang 10 peratus daripada nilai pelaburan. Kerajaan telah luluskan. Syarikat swasta ini akan melaksanakan projek secepat mungkin.
Satu lagi iaitu projek Sipadan (Mangrove) Resort. Tujuan bantuan di situ ialah untuk membuka jalan ke arah Sipadan (Mangrove) Resort. Dengan memberi bantuan itu, orang-orang kampung di sekitar kawasan (projek) itu juga dapat menikmati kemudahan yang disediakan iaitu jalan baru ke kawasan mereka dan ke kawasan projek," katanya.
Ali berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka\ puasa bersama ketua-ketua jabatan perkhidmatan di Tawau, malam tadi.
Katanya kerajaan menggalakkan projek kerjasama awam-swasta kerana impaknya amat positif kepada pelaburan swasta dalam negara serta dapat menjana pekerjaan dan menjana pendapatan tinggi dalam negara yang kini dapat dirasai di seluruh negara.
Menurut Ali, dua lagi projek kerjasama awam-swasta di Tawau, satu daripadanya ialah mewujudkan zon perdagangan bebas, masih pada tahap perancangan dan sekiranya berdaya maju, ia akan dikemukakan ke peringkat atasan untuk kelulusan.
- Bernama
