Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM: Sebaran lokasi perangkap laju di facebook tak benar
Diterbitkan:  Aug 18, 2012 6:54 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menasihatkan pengguna lebuh raya supaya tidak terpedaya dengan sebaran di laman blog dan Facebook berhubung lokasi perangkap had laju sempena Aidilfitri.

PDRM melalui laman Facebooknya, berkata sebaran mengenai lokasi pemasangan kamera perangkap had laju menerusi laman sosial tersebut adalah tidak benar.

    

Menurutnya, ini kerana PDRM tidak meletakkan secara tetap kamera perangkap had laju di jalan raya di seluruh negara.

"Sehubungan itu, polis menasihatkan supaya orang ramai tidak mudah mempercayai maklumat yang disebarkan melalui bolg-blog dan facebook," demikian menurut laman Facebook berkenaan.

    

Dakwaan tersebut mula tersebar di laman-laman sosial berkenaan dua hari sebelum pelancaran 'Op Selamat' sempena musim perayaan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada 10 Ogos lepas.

Antara lain, sebaran di Facebook bertajuk 'Lokasi Perangkap Had Laju Sempena Aidilfitri 2012 PLUS' itu mendakwa terdapat sebanyak 40 lokasi perangkap had laju membabitkan laluan di Lebuhraya Utara-Selatan.

    

Jumlah itu termasuk lima lokasi di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), empat di Lebuhraya ELITE dan tiga di Lebuhraya Kesas.

    

Kira-kira 6,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertugas sepanjang Op Selamat yang akan berakhir Jumaat

depan.

    

- Bernama

ADS