Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencadangkan supaya pemegang konsesi lebuh raya melanjutkan tempoh masa pemberian diskaun dan rebat tol kepada pengguna pada musim perayaan bagi mengelak kesesakan di plaza tol.
Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata tempoh had masa diskaun dan rebat tol untuk beberapa jam sahaja menyebabkan pemandu berebut pada waktu tersebut lalu menyumbang kepada kesesakan di plaza tol.
Sempena Aidilfitri dan ulang tahun kemerdekaan ke-55 tahun ini, semua pemegang konsesi bersetuju menawarkan diskaun dan rebat tol antara 10 hingga 37.5 peratus bagi kenderaan kelas 1.
Bercakap kepada Bernama di Kota Bharu hari ini, Solah berkata adalah lebih baik pihak pemegang konsesi lebuh raya melanjutkan tempoh masa diskaun dan rebat tol bagi memudahkan kelancaran lalu lintas di semua plaza tol.
Mengenai Op Selamat sempena musim perayaan Aidilfitri yang bermula 12 Ogos lalu, beliau berkata JPJ telah telah memeriksa 1,470 buah bas dan sejumlah 975 kes dikesan melibatkan pelbagai kesalahan seperti brek dan tayar tidak berada dalam keadaan baik.
"Jumlah bas itu adalah daripada sejumlah 6,299 buah bas yang diberikan Lesen Perubahan Sementara (LPS) oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sempena musim perayaan Aidilfitri ini," katanya.
- Bernama
