Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan penjenayah berputih mata apabila gagal memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Melaka, dalam satu cubaan melarikan wang dari mesin ATM awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Muhammad Koey Abdullah berkata kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di tingkat dua premis yang menempatkan tiga mesin ATM terbabit pada pukul 8 pagi.

Ketika dihubungi Bernama di Melaka, Muhammad berkata dalam kejadian yang dianggar dari tengah malam hingga awal pagi itu, suspek hanya berjaya memecah pintu luar peti simpanan wang mesin ATM terbabit.

"Mereka gagal memotong pintu peti kebal setebal empat inci. Kita percaya cubaan jenayah ini dilakukan kumpulan tidak profesional kerana hanya berjaya mematikan sistem penggera yang terdapat pada mesin ATM tersebut," katanya.

Beliau berkata polis juga percaya suspek bersembunyi di dalam pasar raya berkenaan sementara menunggu operasi perniagaan tamat pada pukul 11 malam.  

Polis juga katanya sukar untuk melakukan siasatan kerana kamera litar tertutup premis tidak berfungsi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS