Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tanah bekas tapak ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields Kuala Lumpur.
Katanya, beliau akan membuat laporan itu kerana tidak mendapat penjelasan memuaskan berhubung tanah yang didakwa diserahkan kepada satu syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.
"Ya (kami akan buat laporan SPRM) dan sekarang ini kami sedang mengumpulkan bukti berkenaan perkara ini, " kata Izzah pada satu sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.
April lalu, Nurul Izzah mendakwa pemberian tanah bekas tapak IPD Brickfields itu diserahkan kepada Primamuda yang didakwa mempunyai kaitan dengan senator Umno Mariany Mohamad Yit.
Mariany ketika dihubungi sebelum ini menjelaskan bahawa urus niaga tersebut telah lama berlaku dan berjalan menurut prosedur yang sah.
Tanah yang dirujuk sebagai PT 20 (Lot 18) Seksyen 94A Bandar Kuala Lumpur (DBKL) diberikan kepada Syarikat Primuda Holdings sebagai pertukaran membangunkan balai polis Jalan Travers.
Menurut Nurul Izzah lagi, Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sehingga kini masih belum mendedahkan nilai sebenar tanah itu yang diberikan kepada Primamuda.
"Beliau (hanya) menyatakan warga Brickfields akan ada satu pondok polis dan bukannya balai polis daerah seperti sebelum ini," kata Izzah yang memetik satu laporan akhbar Sinar Harian .
MP Subang Sivarasa Rasiah yang turut hadir pada sidang media sama juga meragui pemberian tanah itu yang didakwanya bernilai sekitar RM150 juta sebagai pertukaran kepada pembinaan balai polis yang hanya bernilai kira-kira RM10 juta.
"Jika anda belanja RM10 juta dan saya berikan anda RM10 juta, itu urusniaga yang adil dan saya tidak akan kata itu korup," kata Sivarasa.
