Pathavachalam mendakwa beliau menerima ugutan itu melalui dua panggilan telefon oleh individu yang tidak dikenalinya pada 16 Ogos lalu – dua hari selepas program dialog bersama Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.
"Semua ini adalah berkaitan dengan dialog saya dengan Raja Nong Chik Zainal Abidin pada masa beliau memperkenalkan pemaju projek tapak IPD Brickfields."Pengugut tersebut mengutuk mengenai pertikaian saya dengan menteri tersebut. Saya dan ramai lagi NGO membantah penubuhan pondok polis di tempat balai polis di situ," katanya (foto, kiri).
Tambahnya, beliau bersama NGO Little India Action Committe yang diketuainya mahu supaya cadangan membina pondok itu digantikan dengan balai polis.
Dalam laporan polis itu, Pathavachalam seterusnya berkata, beliau menerima ugutan pertama daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sudukattu Ravi (Ravi dari kubur) pada awal pagi 16 Ogos.
"(Lelaki itu) mengugut saya bahawa dia akan membunuh dengan memotong saya dan juga akan menghapuskan keluarga saya," katanya.
Beliau seterusnya membuat laporan kedua apabila menerima satu lagi panggilan telefon daripada nombor yang sama pada malam 16 Ogos.
"Apabila saya beritahu dia bahawa laporan telah dibuat semalam, dia pun marah dan terus berkata siapapun tidak boleh menyelamatkan saya lagi dan bila-bila masa pun saya akan dibunuh," kata usahawan hartanah itu lagi.