Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakatan: Perjelas dakwaan manipulasi data jenayah
Diterbitkan:  Aug 23, 2012 7:42 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

Pakatan Rakyat menuntut menteri dalam negeri dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) supaya memberi penjelasan keatas dakwaan manipulasi data jenayah seperti yang ditimbulkan seorang individu yang mendakwa sebagai anggota polis.

Satu kenyataan bersama yang dikeluarkan tiga MP Pakatan – Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) dan Liew Chin Tong (Bukit Bendera) – turut menggesa menteri dalam negeri mendedahkan perangkaan sebenar bagi kes yang tidak diklasifikasikan itu.

"Dakwaan tersebut sangat serius kerana ia menimbulkan keraguan kepada integriti perangkaan rasmi dan seterusnya integriti menteri dalam negeri," kenyataan itu dipetik.

Dakwaan berkenaan, seperti disiarkan di laman Malaysiakini hari ini, menyebut bahawa manipulasi "sistematik" itu dilakukan dengan menukar kategori jenayah tertentu supaya tidak direkodkan dalam perangkaan.

Surat daripada individu yang enggan dinamakan itu, seperti dipetik dalam kenyataan tersebut, menjelaskan bahawa usaha tersebut dilakukan dengan "menukar jenayah indeks kepada jenayah bukan indeks".

"Klasifikasi jenayah indeks kepada jenayah bukan indeks akan direkodkan dalam sistem laporan polis sebagai 'bukan indeks' bagi tujuan perangkaan.

"Mengurangkan jumlah jenayah indeks akan menunjukkan kadar jenayah sebagai menurun," kenyataan itu dipetik.

Penulis surat yang enggan dikenali berkenaan mendakwa ia antara lainnya melibatkan jenayah samun yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 457 Akta Jenayah, tetapi laporan berkenaan diklasifikasi mengkikut Seksyen 452 dan Seksyen 453 yang bukan merupakan jenayah indeks.

Begitu juga bagi kesalahan menyebabkan kecederaan mengikut Seksyen 457 Akta Jenayah, tetapi diklasifikasi di bawah Seksyen 148 akta berkenaan yang bukan jenayah indeks.

"Surat tersebut mendakwa manipulasi klasifikasi jenayah indeks kepada jenayah bukan indeks mencecah ke angka ribuan kes. Tentunya, menghilangkannya dari statistik jenayah akan menunjukkan kadar jenayah di negara ini menurun," kenyataan Pakatan dipetik.

Kenyataan tersebut seterusnya menuntut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala supaya mendedahkan perangkaan kes mengikut klasifikasi yang dinyatakan penulis surat terbabit, bagi membuktikan kebenaran.

Pakatan mencabar supaya kerajaan mendedahkan perangkaan melibatkan klasifikasi kes mengikut Seksyen 148, 382, 452 dan 453 Akta Jenayah selepas pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara dan tiga tahun sebelum pelaksanaannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS