Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai kastam mati selepas selamatkan kereta daripada terbakar

Seorang pegawai kanan kastam meninggal dunia akibat serangan jantung setelah menyelamatkan keretanya dalam kebakaran yang dipercayai perbuatan khianat, di kuarters Kastam Johor, Jalan Biru 2, Taman Pelangi, di Johor Baharu hari ini.

Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Pengurusan Pematuhan negeri Ahmad Hassan, 55, ditemui dalam keadaan pengsan selepas mengalihkan keretanya kira-kira 30 meter dari rumah dua tingkat separa berkembar itu yang mengalami kebakaran pada pukul 4 pagi tadi.

"Setelah mengalihkan keretanya, mangsa keluar dari kereta untuk menenangkan diri. Kemudian, rakan serumahnya mendapati mangsa terbaring di sebelah keretanya," kata pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh di sini.

Menurut beliau, petugas paramedik yang dipanggil untuk memberi bantuan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana serangan jantung.

Jenazah Ahmad yang masih bujang dibawa ke Terengganu untuk dikebumikan, katanya.

Mengulas kejadian kebakaran itu, Abdul Samad berkata insiden bermula di rumah jiran mangsa dan memusnahkan kereta jenis Proton Savvy milik jirannya itu dan struktur bahagian depan kediaman.

Katanya kebakaran dipercayai berpunca daripada bom molotov yang dilontar pihak tertentu dan polis sedang menyiasat motif kejadian termasuk kemungkinan berkaitan dengan bidang tugas lima pegawai yang mendiami kuarters berkenaan.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Johor Baharu, M Vijayan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 4.11 pagi sebelum sebuah jentera berserta tujuh anggota bersama pegawai tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.35 pagi dan bomba menamatkan operasi sekitar jam 5 pagi. Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari kereta, kemudian marak ke bahagian depan kediaman dengan membakar struktur kayu pada rumah ini diikuti asap tebal mula memenuhi ruang dalaman.

"Ketika kejadian, ada dua pegawai di dalam rumah. Seorang daripadanya bertindak menyelamatkan diri sebaik sahaja kami tiba, manakala seorang lagi terperangkap tetapi berjaya diselamatkan," katanya.

- Bernama

ADS