Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membidas Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham kerana tetap mengkritik Barisan Nasional (BN) dan Umno walaupun telah memohon maaf terhadap kenyataannya sebelum ini, yang mempertikaikan bantahan umat Islam terhadap filem 'Innocence of Muslims'.
Zambry berkata Ngeh menerusi laman twitternya semalam juga telah mengkritik beliau dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan menuduh mereka memanipulasikan kenyataannya sebelum ini.
"Saya lihat kenyataannya menerusi laman twitter terbarunya itu terlalu peribadi dan tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pencegahan Jenayah di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ngeh dalam laman twitter terbarunya semalam, yang berbunyi "No hope for Umno. Their best brains Zambry & Khairy so low std (standard). People who read my tweet will have only disdain for them.
(Tiada harapan untuk Umno. Cerdik pandai mereka Zambry & Khairy begitu rendah standard. Mereka yang membaca laman twitter saya hanya mempunyai perasaan hina terhadap mereka)
Zambry menganggap Ngeh terlalu marah terhadapnya sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Apa yang saya katakan itu bukan soal manipulasi tetapi adalah bersuara untuk mempertahankan agama. Dia sendiri yang telah bawa martabatnya terlalu rendah dengan mengeluarkan kenyataan itu," katanya.
Beliau berkata Ngeh perlu ingat bahawa kenyataannya sebelum ini mengenai isu filem 'Innocence of Muslims' menerusi laman twitternya boleh dilihat oleh semua orang.
Dua hari lepas, Ngeh menerusi laman twitternya didakwa mengeluarkan soalan bantahan itu sebagai provokasi terhadap reaksi kepada hasrat Khairy bergabung dengan Dewan Pemuda PAS mengadakan protes terhadap filem arahan Sam Bacile itu yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW.
- Bernama
