Transformasi pengurusan kewangan dalam perkhidmatan awam negeri Sarawak yang baik akan menjamin integriti, akauntabiliti, ketelusan pengurusan kewangan serta memberi keyakinan dan
kepercayaan kepada orang ramai, terutama para pelabur.

Setiausaha Sarawak Tan Sri Morshidi Abdul Ghani berkata usaha mentransformasi perkhidmatan awam negeri oleh kerajaan Sarawak sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat awam, termasuk komuniti perniagaan dengan pengenalan e-government.

Pengurusan projek secara sistematik dan berkesan boleh menjamin projek dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual dan berkualiti supaya golongan sasar mendapat manfaat daripadanya," katanya ketika merasmikan bengkel Kesedaran Projek Semakan Lesen-Lesen Perniagaan, peringkat Sarawak di Kuching semalam.

Beliau berkata inisiatif 'Balanced Score card', yang dipilih sebagai kaedah penilaian prestasi dengan mengambil kira perspektif pembangunan pekerja, telah dilaksanakan di Jabatan Ketua Menteri dan kementerian dan kemudiannya akan dipanjangkan ke semua jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Katanya memandangkan keperluan pelanggan yang berubah seiring dengan perubahan masa perlu diurus dengan sebaiknya, pengurusan perubahan budaya bukan sahaja dapat mewujudkan satu set nilai dan amalan tetapi juga dapat dijadikan sebagai pengikat dan pembentuk tingkah laku para penjawat awam dalam perkhidmatan awam.

Bengkel kesedaran yang berlangsung selama sehari itu disertai 150 peserta, terdiri daripada setiausaha tetap kementerian, ketua jabatan dan agensi serta pegawai di bawah kerajaan negeri.

- Bernama