Tokoh korporat terkenal Tan Sri Ibrahim Menudin menafikan dengan keras desas-desus yang mengatakan bahawa jet peribadi yang dinaiki Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama pemimpin pembangkang ke Labuan pada 15 September lalu adalah miliknya.
Ibrahim dengan reaksi terkejut ketika dihubungi berkata, penggunaan jet tersebut tiada kaitan dengan beliau, malah menganggapnya sebagai suatu khabar angin.
Desas-desus yang mengatakan jet tersebut milik beliau menjadi hangat di Labuan terutamanya ketika Anwar membuat pengumuman rasmi kemasukan beliau ke dalam PKR.
"Saya tidak ada jet. Orang hanya cakap-cakap sahaja. Hari ini saya ingin mengesahkan bahawa jet itu bukan milik saya. Untuk perkara lain pula, kita berjumpa lain kali," ujarnya yang pernah menjadi bendahari Umno Sabah.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai pemilik jet tersebut, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan menaiki jet eksekutif bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang lain dari Terminal SkyPark Subang untuk ke Labuan Sabah pada 15 September lalu.
Berikutan itu, beberapa blog mempersoalkan tindakan pemimpin pembangkang yang dilihat bermewah-mewah dalam perbelanjaan mereka ketika pakatan itu baru mentadbir empat negeri.
