Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S Jayathas sertai PKR untuk 'singkir BN dari Putrajaya'

Bekas ketua penerangan Hindraf S Jayathas hari ini menyerahkan borang untuk menyertai PKR secara rasmi.

Katanya, beliau antara lainnya menyertai parti itu untuk meneruskan perjuangan dalam isu melibatkan masyarakat India.

NONE Jayathas mendakwa, beliau tidak menghadapi apa-apa masalah dalam Hindraf dan penyertaannya dalam PKR adalah untuk "menyingkirkan BN dari Putrajaya",

"Negara ini memerlukan perubahan... Perubahan mesti daripada peringkat persekutuan dan perubahan datang daripada gabungan politik Pakatan Rakyat," kata Jayathas dalam sidang media itu.

Menurutnya lagi, kemasukan beliau dibuat selepas berbincang dengan kepimpinan Pakatan bagi membantu gabungan itu menyelesaikan masalah yang berkaitan masyarakat India. 

Borang itu diterima naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar di ibu pejabat PKR hari ini.

Turut hadir Naib Presiden N Surendren, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Khalid Jaafar.

NONE Jayathas berkata sebelum ini beliau pernah menyertai Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2000 sebelum aktif dalam Hindraf.

Beliau pernah menjadi calon PKR pada 2004 di kawasan DUN Merlimau - kawasan yang majoritinya didiami oleh pengundi Melayu.

Kepimpinan atasan yang hadir dalam sidang media itu, mengalu-alukan "kemasukan semula" Jayathas - yang pernah menjadi aktivis reformasi pada 1998 - ke dalam parti itu.

Jayathas berkata setakat ini tidak ada mana-mana kepimpinan Hindraf yang membantah tindakannya menyertai PKR hari ini.

Sementara itu, Nurul Izzah menegaskan "tidak berbangkit" Jayathas dijanjikan habuan berbentuk jawatan tertentu kerana menyertai parti itu.

"Tidak kira (anggota) baru atau lama, kalau membuatnya (kerja parti) perlu kepada keikhlasan untuk menggerakkan jentera dan parti," katanya yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

"Kita akan berbincang apa peranannya untuk membantu masyarakat India," celah Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang.

Manakala Surendren berkata Jayathas - yang lebih 16 kali keluar masuk penjara - menunjukkan komitmen beliau dalam perjuangan membela msyarakat India dan mereka yang tertindas.

VIDEO l 5.31 min

ADS