Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Subang R Sivarasa berkata PKR akan menganjurkan perhimpunan bagi membantah notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk merobohkan satu kuil di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur  yang didakwa berusia 100 tahun.

Sivarasa yang merupakan peguam kepada Persatuan Penganut Sri Muneswaran Kaliyaman berkata DBKL mengeluarkan notis 30 hari mengikut Seksyen 72(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 supaya mengosongkan dan merobohkan kuil tersebut.

"Kita bantah tindakan (perobohan) ini... Kita minta tarik balik notis itu. Dan kita juga akan membuat laporan polis Jumaat ini.

"Minggu depan kita akan buat bantahan besar di DBKL supaya tindakan (perobohan) itu dihentikan serta merta," kata Sivarasa.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Naib Presiden PKR N Surendren yang mengecam tindakan DBKL tersebut sebagai "simbol penindasan" terhadap masyarakat India.

"Kita akan lawan secara aman notis (ini), kita tidak akan membenarkan kuil ini dirobohkan kerana ia menentang semua prisip yang dipegang dan disanjung oleh PKR," katanya.

Surendren yang juga seorang peguam berkata PKR juga akan berusaha untuk menghentikan tindakan perobohan itu berdasarkan landasan undang-undang yang ditetapkan.

Notis yang diedarkan kepada petugas media bertarikh 25 September 2012 itu ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Rekabentuk Bandar dan Bangunan DBKL Juminan Samad.

Dalam notis itu Juminan berkata, pemeriksaan ke atas kuil tersebut pada 12 September lalu mendapati ia dibina tanpa mendapat kelulusan dan kebenaran bertulis daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Notis itu juga antara lain mengarahkan pihak kuil meroboh tembok bata dan pagar zink yang dibina tanpa izin serta memindahkan sisa runtuhan daripada tapak tersebut.

"...jika tuan tidak mematuhi kehendak notis ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh melakukan perbuatan yang dikehendaki oleh notis ini dan tuan dikehendaki menanggungrugi Datuk Bandar Kuala Lumpur  dalam menjalankan kehendak-kehendak notis ini.

"Dan Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh mengambil tindakan untuk meruntuhkan bangunan tersebut serta memindah sesiapa jua atau apa-apa harta alih yang terdapat dalam bangunan atau di tapak tersebut," notis itu dipetik.

VIDEO l 4.33 min

ADS