Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam maut dalam kemalangan di Kemaman
Diterbitkan:  Oct 10, 2012 2:58 PM
Dikemaskini: 1:28 PM

dikemaskini Enam orang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah bas ekspres di Km129.65 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran di Meraga Beris di Kemaman awal pagi tadi.

    

Antara yang terkorban ialah seorang ibu bersama tiga anaknya. Ibu tersebut ialah Noran Ali, 39, dan anak-anak perempuannya Nursyazleen Norizan, 12, Nur Syardiena, 9, dan Nurkhairatul Najiha, 4.

   

Dua lagi yang maut dalam tragedi kira-kira jam 4.30 pagi itu ialah saudara mara  mereka iaitu Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43, dan Khairudi Omar, 31, yang memandu kereta tersebut.

   

Dua lagi anak Noran iaitu Nursakinah, 17, dan adiknya Nursyafura, 13, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

   

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Abdul Marlik Hakim Johar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki para mangsa hilang kawalan akibat muatan berlebihan sebelum terbabas dan merempuh bas ekspres berkenaan.

   

Beliau yang berada di Hospital Kemaman di mana mayat para mangsa ditempatkan berkata rempuhan secara berhadapan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

   

Semua mangsa berasal dari Kampung Gong Pauh kecuali Wan Aspisar dari Kampung Bukit Mentok.

   

"Siasatan awal mendapati kereta itu memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan dengan bas ekspres berkenaan," kata Abdul Marlik.

   

Beliau berkata pemandu bas ekspres tersebut bersama 23 penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

   

Tinjauan Bernama mendapati kawasan kemalangan terletak di laluan yang lurus berhadapan Sekolah Kebangsaan Meraga Beris dan menurut beberapa penduduk, di kawasan tersebut memang sering berlaku kemalangan maut.

Sementara itu, apabila Norizan Othman, 49, pulang ke rumah di Kampung Gong Pauh pukul 10 malam tadi selepas berniaga kuih di Kerteh, kira-kira 20 kilometer dari Kemaman, isteri dan lima anak perempuannya tiada di rumah kerana telah berlepas ke Kuala Terengganu untuk mengunjungi anak perempuan sulung mereka.

    

Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 pagi tadi, Norizan menerima perkhabaran sedih bahawa isterinya, Noran Ali, 39, bersama tiga anak mereka - Nursyazleen, 12, Nur Syardiena, 9, Nurkhairatul, 4, dan dua saudara angkat terkorban dalam nahas jalan raya apabila kereta yang mereka naiki bertembung sebuah bas ekspres di Kilometer 129 Jalan Kuantan-Terengganu dekat Meraga Beris pada 4.30 pagi.

    

Dua saudara angkat yang turut terkorban ialah Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43, dan Khairudi Omar, 31, pemandu kereta.

    

Dua lagi anaknya, Nursakinah, 17, dan Nursyafura, 13, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

    

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang bas terbabit tidak cedera.

    

"Kali terakhir saya menelefon isteri saya pukul 7 malam semalam, masa itu isteri saya masih dalam rumah lagi dan meminta maaf atas apa-apa kesalahannya serta anak kerana hendak berjalan jauh ke Kuala Terengganu.

    

"Memang menjadi adat kami sebelum keluar ke mana-mana, isteri dan anak salam cium tangan saya minta maaf," katanya kepada pemberita di Hospital Kemaman hari ini.

    

Norizan juga berkata beliau tidak menyangka itulah ungkapan maaf terakhir  daripada isteri dan anak-anaknya.

    

Beliau berkata isterinya memaklumkan bahawa mereka mahu ke rumah Nur Syamira, 21, di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu untuk berjumpa dua cucu yang berusia empat dan satu tahun.

    

Sementara itu, Nur Syamira berkata ibunya ada menghubungi beliau petang semalam, namun tidak pula memaklumkan akan ke rumahnya.

    

"Ibu memang biasa buat kejutan untuk kami sekeluarga. Kadang-kadang dia datang tanpa bagitahu, tapi sebelum kejadian, memang dia tidak maklumkan akan datang ke rumah," katanya.

    

- Bernama

 

ADS