Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MCA bersedia menghadapi perang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dengan penuh semangat kesepakatan dalam BN bagi memastikan kejayaan lebih besar BN dalam pilihan raya itu nanti, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Berpegang kepada slogan 'Berperang dengan Penuh Keberanian', Dr Chua berkata MCA kini sudah bangkit lebih sepakat, bersatu dan fokus dalam menangani isu-isu yang penting bersama-sama BN dan bersedia untuk menempuh apa jua masalah dan rintangan.

"Kami telah mengubah cara bekerja dengan menjadi lebih bersikap tegas, menyatakan pendirian dan mengambil pendirian dalam beberapa isu yang kami anggap tidak wajar ke atas rakyat.

"Kami telah menyatakan suara hati kami supaya kerajaan dapat mendengarnya dengan jelas dan nyata dan kepimpinan baharu MCA komited untuk terus bercakap bagi pihak semua rakyat Malaysia," katanya dalam ucapan dasar presiden pada  Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-59 di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Perhimpunan itu yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut dihadiri pemimpin parti komponen BN termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

"Datuk Seri (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi perang pilihan raya umum, kami sudah sedia untuk 'berperang' bila sahaja Parlimen dibubarkan," katanya yang turut memberikan makna bagi 'WAR' iaitu "willing, able and ready" (sedia, berupaya dan bersedia).

Menyentuh soal dalaman parti, Dr Chua mengakui MCA memiliki beberapa kelemahan sebelum ini tetapi kepimpinan baharu parti itu telah belajar daripada kelemahan itu untuk menjadi lebih kuat dan bersiap sedia untuk menempuh dan menghadapi cabaran, dugaan dan rintangan.

"Kita tidak akan sesekali menipu rakyat dengan mengatakan tiada kelemahan dan masalah dalam MCA seperti mana pakatan rakyat menggambarkan kepada rakyat bahawa mereka merupakan satu parti politik yang paling sempurna, mulia dan suci di dunia termasuk bebas daripada sebarang masalah dan kelemahan," katanya.

Dengan nada lebih tegas dan senada dengan keputusan Jawatankuasa pusat BN, Dr Chua memberi amaran bahawa tidak ada ruang dan masa untuk anasir-anasir sabotaj mengambil tempat di dalam parti ketika pilihan raya umum atau ahli akan berdepan tindakan dipecat dari parti.

"Amanat kepada semua warga anggota MCA, mulai detik ini kita hanya patut bercakap, berbincang dan berfikir tentang mengalahkan pakatan rakyat dalam pilihan raya ketika bersarapan, makan tengah hari, malam atau ketika makan lewat malam," katanya yang disambut tepukan gemuruh anggota perwakilan.

Dr Chua dalam ucapannya turut mengulangi komitmen MCA pada perhimpunan tahun lepas untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan jika gagal menunjukkan prestasi lebih baik pada PRU-13 akan datang.

"Ianya merupakan cabaran besar kepada ahli MCA, justeru kita harus kekal bersatu, fokus, bekerja keras dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan PRU ke-13, kita sudah berada dalam persimpangan politik 'Do or Die Battle' (Pertarungan Hidup atau Mati)," katanya.

Dasar kabur pakatan pembangkang turut tidak terlepas daripada sindiran sinis Presiden MCA itu yang menyifatkan pembangkang tidak seharusnya bersembunyi di bawah slogan populisnya 'Ubah Malaysia' tanpa bersedia berkongsi dengan rakyat hala tuju negara di bawah pemerintahan mereka.

Sebaliknya, Dr Chua berkata di bawah pimpinan Najib, transformasi kerajaan dapat disaksikan dengan jelas dan rakyat sepatutnya dapat membuat perbandingan dan pilihan yang tepat demi masa depan negara.

"Kita tidak kata kerajaan BN adalah sempurna, tetapi pada masa yang sama, tidak ada sesiapa dapat nafikan yang kerajaan ini telah berjaya mengekalkan keharmonian kaum dan agama, sekali gus memberikan keamanan serta kestabilan kepada negara untuk terus maju," katanya.

- Bernama

VIDEO l 5.06 min

ADS