Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPIM saran 'kelas pemulihan' hudud pada Soi Lek
Diterbitkan:  Oct 22, 2012 9:57 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meminta agar Presiden MCA, DAtuk Seri Chua Soi Lek membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau mengenai isu hukuman hudud.

Dalam satu kenyataan media, Presiden PKPIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, permohonan maaf itu perlu bagi memastikan isu tersebut tidak dijadikan modal politik untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

"PKPIM khuathir sekiranya Chua Soi Lek akan berterusan menjadikan hudud sebagai agenda murahan beliau dalam memenangi kelompok pengundi cina dalam PRU ke-13 akan datang.

"Kami dengan tegas menyarankan Chua Soi Lek dan MCA keseluruhannya membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai kenyataan yang dibuat berkenaan hudud ini," katanya.

Khamis lalu, Chua mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Pada ucapan di perhimpunan Agung MCA ke-59 yang berlangsung semalam pula, Chua berkata lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Sehubungan itu, Fahmi turut menggesa agar teguran keras dan "kelas pemulihan" diberi kepada Chua dan ahli MCA lain supaya memahami hukuman tersebut.

Beliau turut mempersoalkan adakah Chua diberi keistimewaan sehingga boleh bercakap secara bebas mengenai hukuman hudud.

"PKPIM mempersoalkan adakah beliau diberi keistimewaan dan hak oleh kerajaan untuk bercakap secara bebas mengenai hudud seolah-oleh beliau mewakili umat Islam terbanyak?

"Atau adakah disebabkan prinsip kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi atau kerana MCA sebagai parti dalam gabungan Barisan Nasional?

"Justeru, teguran keras dan kelas pemulihan perlu diberikan kepada beliau oleh rakan-rakan Melayu-Islam yang berada dalam BN atau setidak-tidaknya kelompok atau individu yang mesra BN," kata Fahmi lagi.

Menurut Fahmi, PKPIM dan beberapa NGO termasuk Abim telah banyak mengemukakan bantahan, menyerahkan memorandum dan beberapa artikel serta buku mengenai hudud untuk dibaca dan difahami Chua.

Malangnya, Fahmi berkata, beliau merasakan Chua tiada masa untuk membaca dan memahami mesej yang disampaikan oleh gerakan Islam dan majoriti umat Islam dalam negara.

"Jika tidak mampu, PKPIM merasakan lebih ramai individu, NGO Islam atau mana-mana pihak yang sanggup berdialog dan bersemuka dengan beliau bagi menjelaskan berkenaan perlaksanaan undang-undang Islam ini di Malaysia," katanya.

ADS