Suspek kes cubaan bunuh Norizan Ali ditahan

Polis menahan tiga lelaki berumur antara 22 dan 28 tahun secara berasingan di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh Ketua Pemuda Umno Kepong Datuk Norizan Ali, pada 24 September lepas.

Suspek pertama dan kedua yang bekerja sebagai penjaga kelab malam masing-masing diberkas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur dan sebuah rumah flat di Ampang antara pukul 4.45 petang dan 6.40 petang semalam.

Hasil siasatan terhadap dua lelaki itu membawa kepada penahanan dalang utama kes berkenaan yang dikenali sebagai 'Wak', seorang broker bebas berusia 28 tahun, di sebuah rumah di Taman Bidara, kira-kira jam 8.15 malam hari yang sama.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dalam sidang media di Shah Alam semalam berkata polis percaya telah menyelesaikan kes tersebut ekoran penahanan tiga lelaki itu dan kertas siasatan kes berkenaan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Beliau berkata sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dijumpai di dalam longkang berhampiran rumah suspek ketiga kira-kira jam 2.05 petang semalam.

Polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga, beg sandang, resit pajak gadai dan telefon bimbit daripada ketiga-tiga suspek.

Tun Hisan berkata kejadian cubaan bunuh terhadap Norizan, 41, dipercayai bermotifkan dendam.

Kesemua suspek direman sehingga 8 Nov ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 207 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pada 24 Sept lepas, Norizan parah ditikam berhampiran rumahnya di Jalan Dagang 2/4 Taman Dagang, Ampang kira-kira pukul 3.30 pagi selepas pulang daripada menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan berhampiran.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.