Saksi: Datuk Salleh arah tahan bayaran RM1j pada Shamsulbahrin

Mahkamah Sesyen diberitahu bekas Pengarah National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mengarahkan pembayaran sebanyak RM1 juta kepada ahli perniagaan Datuk
Shamsubahrin Ismail ditahan selepas mengetahui latar belakang Shamsubahrin.

Bekas Pengurus Kewangan NFC Hashimah Ahmad, 37, berkata Mohamad Salleh mengetahui perkara itu daripadanya selepas beliau dan setiausaha bekas pengarah perbadanan tersebut menyelidik latar belakang Shamsubahrin melalui Internet.
    
Beliau berkata Mohamad Salleh kemudian mengarahkannya meminta bantuan Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah komersial (JSJK) Bukit Aman ASP Mohd Nor Hashimaizam Othman mendapatkan maklumat berhubung Shamsubahrin.

"Hashimaizam memberitahu saya memang terdapat beberapa aduan mengenai Shamsubahrin, dan saya kemudian memberitahunya (Hashimaizam) bahawa saya merasakan Mohamad Salleh telah ditipu oleh lelaki ini," katanya

Beliau menjawab soalan Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa pada perbicaraan kes Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan  Keganasan 2001, membabitkan sejumlah RM1.755 juta.

Hasimah juga berkata tertuduh sering menghubunginya dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendesak pembayaran baki RM1 juta.

"Saya ada bertanya kepada Shamsubahrin untuk apa wang berkenaan, dan dia memberitahu ia (RM1 juta) adalah untuk membayar enam orang Timbalan Pendakwa Raya (TPR)," kata saksi ke-17 pendakwaan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberitahu nama TPR terbabit kerana tidak memahami maksud TPR ketika itu.

Shamsubahrin turut berdepan lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
    
Sementara itu, Hashimah berkata beliau membuat laporan polis berhubung ugutan oleh Shamsubahrin pada malam beliau ditahan polis iaitu 21 Disember tahun lepas.
    
Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung 29 Nov ini.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.