Beta Tegap nafi kontrak AES diberi berkaitan Umno

Beta Tegap- salah sebuah syarikat yang diberi kontrak melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) - menegaskan bahawa syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang hubungan dalam perniagaan yang berkaitan dengan Umno.

Beta Tegap menjelaskan demikian dalam reaksinya terhadap dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Chang Lih Kang Isnin lalu bahawa kontrak AES diberi kepada syarikat tersebut kerana pemegang terbesar sahamnya mempunyai hubungan dengan Umno Johor.

"Ayah To' Puan Rozana yang meninggal 12 tahun lalu iaitu allahyarham Tan Sri Datuk Redzuan Salim merupakan bekas pemimpin Umno bahagian Parit Sulong," kata Pengerusi Beta Tegap, Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

"Kami dengan ini meminta supaya keluarga To'Puan Rozana tidak terus difitnah memandangkan allahyarham telah meninggal lebih sedekad lalu.

"Perbuatan memfitnah ini mencerminkan sifat tidak sensitif dan ternyata mencari publisiti murahan," kata Nik Ismail.

Mengenai kontrak yang diberi kepada syarikat itu pada tahun 2005, Nik Ismail berkata, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan telah membuat penilaian menyeluruh terhadap perlaksanaan sistem AES di negara lain.

Katanya lagi, pada tahun 2007, sembilan buah syarikat tempatan dengan kerjasama dari pakar teknologi luar telah dipelawa untuk mengambil bahagian dalam ujian secara langsung sistem itu diatas jalan raya di negara ini.

"Bermula dari 18 Jun 2007, di Lebuhraya Koridor Guthrie dan Putrajaya, tujuh dari sembilan syarikat telah menjalani ujian bagi menilai sistem mereka di jalan raya di Malaysia.

"Beta Tegap telah dipilih berdasarkan prestasi dan keupayaan dari segi teknikal yang ditunjukkan oleh rakan kongsi kami semasa ujian secara langsung itu diadakan, dan bukan kerana kami mempunyai kaitan dengan mana-mana individu berpengaruh," kata Nik Ismail lagi.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.