Muktamar Pemuda PAS jadi 'tonik' hadapi p'raya umum

Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-53 yang dijadual berlangsung pada 14 dan 15 November ini bakal menjadi 'tonik' kepada perwakilan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata setiausaha Dewan Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil.

"Memang fokus (muktamar) adalah pilihan raya. Harapannya selepas muktamar, kita akan gariskan beberapa perkara dan ia akan beri tonik baru kepada perwakilan," kata Khairul Faizi pada sidang media pagi ini.

NONEBeliau berkata muktamar kali ini juga menampilkan kelainan apabila perwakilan dibekalkan dengan buku laporan dan teks ucaptama Ketua Pemuda Nasrudin Hasan, dua minggu lebih awal dari tarikh muktamar, kata Khairul lagi.

"Buku laporan dan ucaptama muktamar dihantar dua minggu awal supaya mereka baca dan fahami terlebih dahulu.

"Jadi muktamar ini kita harapkan perbahasan yang lebih dinamik dan lebih baik berbanding tahun-tahun dahulu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS pagi ini.

Khairul Faizi berkata antara usul yang hampir pasti dibahaskan oleh perwakilan adalah menangkis serangan dari Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dan parti itu berhubung isu hudud.

"Usul yang ditimbulkan Chua Soi Lek dan beberapa pimpinan MCA yang hampir pasti akan menjadi usul dalam muktamar kali ini," katanya.

opposition boycott by-election 110107 mohamad sabuMuktamar dua hari bertemakan 'Mencorak Masa Depan' itu akan berlangsung di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu dan dirasmikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada jam 8 malam.

Muktamar penuh dewan tersebut dijadual bermula jam 8 pagi hingga 6.30 petang pada 15 November ini di mana tiga pemimpin PAS pusat dilantik menjadi pemerhati.

Dijangka seramai 733 perwakilan daripada 172 kawasan PAS akan hadir - peningkatan tujuh kawasan baru berbanding tahun lepas.

Lebih istimewa muktamar kali ini juga akan menyaksikan pelancaran kelab fotografi alternatif dan capaian media sosial Facebook dan Twitter sayap itu.

Majlis anugerah Tokoh Pemuda, anugerah Pejuang Rakyat dan anugerah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) akan turut berlangsung pada muktamar itu.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.