Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salang: Hati-hati kunjungan NGO menjelang p'raya

Masyarakat di pedalaman Sarawak diminta berhati-hati dengan kedatangan badan bukan kerajaan (NGO) ke kawasan mereka menjelang pilihan raya umum ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata mereka yang datang dengan niat baik perlu dialu-alukan, tetapi perlu berwaspada dengan yang hanya mahu menghasut mereka menentang kerajaan.

"Baharu semalam saya diberitahu sekumpulan NGO datang ke Pakan yang pengajurnya turut menjemput tuai rumah panjang datang di sebuah rumah panjang.

"Di akhir perjumpaan mereka mula bercakap mengenai usaha survei perimeter oleh kerajaan yang mereka dakwa hanya merupakan tipu helah untuk membenarkan wakil rakyat merampas tanah rakyat," katanya semasa melancarkan program Komuniti 1Malaysia Himpunan Kasih Sayang 2012 peringkat negeri anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di Rh Jelian, Nanga Matop dekat Julau hari ini.

Salang berkata majoriti tuai rumah panjang kecewa dengan tuduhan liar itu lalu meninggalkan perjumpaan tersebut.

"NGO ini sekiranya mahu bercakap soal politik jangan guna pertubuhan mereka. Lebih baik kamu guna platform atau parti politik agar tidak mengelirukan rakyat," katanya.

Beliau yang dicalon semula Parti Rakyat Sarawak (PRS), komponen Barisan Nasional untuk mempertahan kawasan Parlimen Julau bagi penggal keempat berkata survei perimeter itu adalah bagi menentukan sempadan kawasan tanah kerajaan negeri dengan tanah NCR (hak adat bumiputera).

"Ia merupakan hasrat kerajaan untuk memberi hak milik tanah kepada pemiik tanah," katanya.

Pada masa yang sama Salang meminta rakyat agar tidak menganggap pilihan raya sebagai perlawanan laga ayam.

"Ia merupakan perkara yang serius. Ia berkaitan memilih kerajaan. Ia mengenai menentukan hala tuju pembangunan dan kemajuan negara serta kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di masa depan," katanya.

Di majlis tersebut beliau menyampaikan bantuan makanan dan kewangan serta kerusi roda kepada penduduk.

- Bernama

ADS