Paras air sungai di S'gor lepasi aras amaran

Paras air beberapa batang sungai di Selangor telah melebihi paras amaran, demikian menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Portal itu mendedahkan paras air Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor melebihi aras amaran 7.60 meter malam ini.

Ia juga melaporkan paras air di Sungai Selangor, Kuala Badong dan Sungai Langat di Bukit Changgang telah melepasi aras bahaya iaitu masing-masing mencatat 4.03 meter dan 4.36 meter.

Di Pahang, paras air Empangan Repas, Bentong naik sehingga 113.67 meter iaitu melebihi aras amaran.

Sehubungan itu, penduduk di sekitar kawasan terlibat dinasihat agar berjaga-jaga.

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di Selangor kekal 1,273 orang setakat 8.30 malam.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), jumlah mangsa banjir di Melaka tidak berubah iaitu 90 orang, dan di Johor, ia meningkat kepada 160 orang berbanding 140 petang tadi.

Sejumlah 12 pusat pemindahan masih dibuka di tiga negeri itu, dan tiada penutupan jalan atau korban banjir dilaporkan setakat ini, kata MKN.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.