Menteri: Nurul Izzah 'politikkan akidah'

Kenyataan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar bahawa orang Melayu Islam boleh memilih agama di bawah faktor kebebasan agama boleh menimbulkan suasana yang bukan sahaja sensitif tetapi boleh menimbulkan kemarahan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan itu bersifat mempolitikkan akidah dan menjadikan agama sebagai gadaian.

hishammuddin post cabinet pc 210308 1"Sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk keselamatan, itu tidak akan kita benarkan.

"Jika dicampuradukkan politik dan pendekatan cakap tidak serupa bikin dengan agama dan isu kaum, ia memberi kesan yang boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rela Sabah Bersama Pemimpin di Sandakan hari ini.

Hishammuddin berkata beliau ingin mengetahui jawapan PAS kepada hujah Nurul Izzah itu kerana dahulu Umno dikafirkan kerana berkawan dengan MCA dan Gerakan.

"Sekarang ini isu begitu sensitif, boleh diterima pula oleh PAS yang menunjukkan mereka tidak konsisten dalam pendirian mereka," katanya.

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 Nov memetik Nurul Izzah sebagai berkata: Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya pada 3 Nov.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.