MB Pahang sokong calon Umno isytihar harta

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau menyokong jika anggota Umno yang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke 13 mengisytiharkan aset atau harta mereka.

Katanya, ia adalah wajar supaya mereka 'bersih' daripada elemen prasangka sebelum layak dipilih mewakili parti dan mengelakkan seseorang itu hidup di luar kemampuan yang tidak seimbang dengan pendapatan.  

"Kita memerlukan bakal calon yang berintegriti, bersih dan berwibawa kerana wakil yang ditonjolkan itu adalah mewakili sebuah parti yang hebat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah kepada 86 peneroka Felda Tementi di Bera hari ini.

Sabtu lepas, Dewan Pemuda PAS Pusat mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan Khamis ini walaupun tidak semua dalam kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Manakala Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur hari ini mengenai cadangan itu berkata Umno belum membincangkannya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.