Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di 3 negeri meningkat, Melaka turun

Jumlah mangsa banjir di Selangor, Perak dan Johor meningkat kepada 1,519 petang ini berbanding 1,469 orang pagi tadi.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat daripada 1,327 orang kepada 1,355 manakala di Johor meningkat kepada 138 orang berbanding 120 pagi tadi.

Di Perak, jumlahnya meningkat daripada 22 orang kepada 26 orang, sementara Melaka mencatatkan penurunan kepada 84 orang setakat 4.32 petang ini berbanding seramai 90 orang pagi tadi.

Di Selangor, sebanyak 344 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan iaitu empat di Kuala Langat, dua di Sepang dan satu di Kuala Selangor.

Di Johor, sebanyak 33 keluarga terbabit dan ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Batu Pahat manakala di Perak, enam keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Manjung dan di Melaka, 17 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Jasin.

Menurut portal Jabatan Saliran dan Pengairan pula, paras air di dua sungai utama di Selangor iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Selangor di Kuala Badong serta sebatang sungai di Johor iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat telah melebihi paras amaran.

Jabatan itu menasihati orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan tersebut supaya berjaga-jaga.

-Bernama

ADS