Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kegembiraan seorang bapa apabila anak lelakinya memanjangkan tempoh bercuti untuk menghabiskan masa lebih lama dengannya, bertukar tragedi hiba apabila anaknya itu, menantu, cucu dan pembantu rumah maut dalam kebakaran yang berlaku tengah malam tadi.

Akauntan dengan Royal Bank of Scotland di Kuala Lumpur, Mohd Hakimi Zubair, 40, isterinya seorang pakar IT, Leila Sahak, 40, anak bongsu mereka Ahmad Faris, 3, serta pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai Rizki, warga Indonesia maut dalam kejadian kebakaran di rumah banglo dua tingkat itu.

Kesemua mereka yang terkorban berada di tingkat atas rumah itu ketika kejadian berlaku sebelum dipercayai lemas akibat asap yang tebal.

    

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping Hasna Rashid berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kebakaran di No 299, Lorong 2, Jalan Dato Seri Ahmad, Taman Pegawai Kanan Kerajaan di Assam Kumbang di Taiping pada jam 12.24 malam.

    

"Empat mangsa yang berada di tingkat atas maut dipercayai akibat lemas. Seorang mangsa ditemui di pintu keluar menuju ke balkoni rumah manakala tiga mangsa yang lain  ditemui di bilik tidur utama. Ketika pihak kami tiba, rumah itu sudah 50 peratus terbakar. Kebakaran berlaku bermula di bahagian tingkat atas rumah," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata manakala tiga lagi anak pasangan itu, Lokman Hafiz, 13, Ain Najwa, 11 dan Aizad Fahmi, 8, serta bapa dan adik Mohd Hakimi iaitu Zubair@Rubir Puteh, 73, dan Rozita, 31, terselamat dalam kejadian itu.

    

Katanya mereka berada di tingkat bawah rumah ketika kejadian berlaku dan sempat menyelamatkan diri.

    

Hasna yang juga ketua operasi memadam dan menyelamat berkata pihaknya turut dibantu oleh jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting  dan operasi ditamatkan pada 2.05 pagi tadi selepas api dapat dikawal.

    

Katanya punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat oleh pihak

forensik jabatan itu.

    

Sementara itu, Zubair berkata Mohd Hakimi dan isterinya yang merupakan lulusan University of Liverpool dan berasal dari Jambatan Duyong, Melaka serta anak-anak tiba di rumah pada Jumaat lepas sebelum bercuti sehari semalam di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Bagan Serai.

    

Beliau yang dilihat sangat tabah dan sabar menghadapi ujian Allah s.w.t itu berkata Mohd Hakimi yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik, pulang semula ke rumah selepas bercuti di BMLR dan mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur petang semalam.

    

"Tapi anak saya batalkan, tak jadi balik. Saya pun seronok sebab dia nak duduk dengan saya lama sikit," katanya dan menurutnya mereka sempat menjamah buah durian yang ditanamnya sendiri.

Katanya Mohd Hakimi yang merupakan lulusan University of Manchester dijadual berlepas ke London pada Sabtu ini untuk bertemu adik lelakinya sebelum melaksanakan tugasan di Ireland.

    

Sementara itu beliau berkata urusan penghantaran pulang jenazah pembantu rumah dari Sumatera itu dirujuk ke pejabat Kedutaan Indonesia untuk tindakan lanjut.

    

Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah, Assam Kumbang sebelum waktu Zohor.

- Bernama

ADS