Kes Husam saman Kickdefella didengar 18 Dis

Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan 18 hingga 19 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan kes saman fitnah RM5 juta oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap blogger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz ekoran penyiaran artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadap plaintif.
    
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Mariana Yahya di dalam kamarnya hari ini, bagi proses pengurusan akhir kes tersebut.
    
Mariana turut mengarahkan kedua-dua pihak iaitu peguam plaintif, Hisham Fauzi dan peguam Kickdefella, Datuk Jaharberdeen Mohamed Yunoos menyelesaikan segala urusan berkaitan dokumen yang diperlukan sebelum perbicaraan berlangsung.
    
Jaharberdeen ketika ditemui pemberita selepas itu berkata pihaknya akan mensapina beberapa pihak yang akan dijadikan saksi dalam kes berkenaan minggu depan.
    
"Antara saksi yang akan dipanggil ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalannya, Datuk Ahmad Yakub dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan," katanya.
    
Pada 19 September tahun lalu,  Husam selaku plaintif memfailkan saman terhadap Syed Azidi yang dinamakan sebagai defendan bagi menuntut gantirugi RM5 juta ekoran penyiaran artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau.
    
Artikel tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat', 'Sebelum kita lupa Normala Sudirman' dan 'Husam itu pembohong' yang ketiga-tiganya disiarkan melalui blog defendan, kickdefella.wordpress.com antara Januari hingga Julai tahun lalu.
    
Defendan pada 9 Oktober tahun yang sama pula memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
    
Bagaimanapun pada 17 April lalu, Hakim Besar Malaya mengarahkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.