Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas KP Mida pengerusi JK siasat projek kondo Bt Caves

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor hari ini melantik bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) Datuk N.Sadasivan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bebas bagi mengkaji kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Sadasivan akan dibantu oleh beberapa jawatankuasa lain yang bakal diwujudkan yang melibatkan anggota profesional dan bebas untuk membantu kerajaan negeri dengan syor-syor bagi menangani isu itu.

    

Beliau berkata Kerajaan Selangor juga melantik Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JBPD), Norasiah Bee sebagai setiausaha di mana JBPD adalah sekretariat yang akan membantu jawatankuasa bebas itu.

    

"Saya akan bertemu dengan Datuk Sadasivan dan ahli-ahli lain dalam minggu ini untuk menyampaikan hasrat kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini.

    

Menurutnya jawatankuasa itu akan berkuat kuasa minggu depan.    

Sadasivan pernah berkhidmat di Bank Negara Malaysia, Pengurusan Danaharta Nasional Bhd serta menganggotai Lembaga Pengarah Petronas.

    

Projek kondominium 29 tingkat Dolomite Park Avenue berhampiran Batu Caves mendapat bantahan MIC kerana didakwa boleh melemahkan struktur tanah kuil-kuil Hindu di Batu Caves yang terletak di kawasan batu kapur.  

    

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan,  Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)  tidak menerima sebarang permohonan daripada syarikat-syarikat yang diberi  konsesi untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Jabatan  Pengangkutan

Jalan dan Kementerian Pengangkutan bagi memasang sistem itu.

    

Oleh itu, katanya MPKj telah memberikan notis dua minggu sejak Khamis lepas kepada kontraktor terbabit untuk menanggalkan kamera-kamera yang dipasang di Km 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan  berhampiran jalan Bangi ke Cyberjaya.

    

Liu berkata arahan menanggalkan kamera-kamera itu dikeluarkan kerana  pemasangan kamera-kamera itu perlu mendapatkan Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

- Bernama

ADS