Nasrudin ingatkan Pemuda PAS tidak bersikap eksklusif

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan mengingatkan perwakilan dewan tersebut bahawa kini bukannya masanya mereka bersikap eksklusif iaitu "sekadar beraksi di dalam gelanggang sendiri" dalam berdepan dengan pilihan raya.

NONEKatanya, Pemuda PAS mesti mempunyai keberanian untuk terjun ke 'hotspot' anak muda yang dambakan bimbingan dengan "menyantuni generasi muda di padang dan gelanggang sukan, pasar malam mahupun uptown".

"Dan tahniah kepada beberapa JPRK (Jabatan Pilihan Raya Kecil) dan JPRU (Jabatan pilihan raya umum) yang telah menyusun aktiviti anak muda secara berkala seperti aktiviti futsal, wayang pacak di pasar malam dan kaunter-kaunter semakan daftar pemilih.

"Lajnah Kebajikan di semua peringkat perlu mengemudi gerak kerja ziarah dan bantuan kebajikan rakyat secara berterusan sebagai ‘Duta Penyelamat dan Kasih Sayang’ bersama dengan gerak kerja pilihanraya yang dikemudi Jabatan Pilihanraya di semua peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Pemuda PAS bertemakan "Mencorak Masa Depan" di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu di hadapan lebih 700 perwakilan Muktamar Pemuda malam ini.

Dalam ucapannya juga, Nasrudin menjelaskan berdasarkan penilaian pencapaian terhadap aktiviti yang dibuat oleh jawatankuasa harian dewan itu mendapati, lajnah, jabatan dan Pemuda negeri mendapat penarafan "kurang memuaskan" dalam hala tuju membina dan menampilkan tokoh pemuda.

Katanya, ia hanya merupakan satu daripada lima halatuju yang diberi penarafan demikian setelah genap tempuh setahun perjalanan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bagi sesi 2011-2013.

NONEManakala tiga lagi halatuju lagi diberikan taraf "memuaskan" iaitu menampilkan PAS sebagai parti yang prihatin dan pembela nasib rakyat, memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan memposisikan PAS sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat dan menggerakkan pendaftaran dan menguasai sokongan pengundi muda.

Sementara halatuju berkaitan mengoptimum penggunaan media baru bagi mendominasi pemikiran rakyat diberi penarafan "baik", tambahnya.

"Sudah pasti, banyak pencapaian yang boleh dibanggakan dan tidak kurang juga banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sepanjang tempoh perjalanan sesi DPPM kali ini.

"Pencapaian dan muhasabah tersebut telah direkodkan dan akan dibentangkan secara terperinci melalui Buku Laporan Aktiviti Tahunan DPPM yang akan dipersoal dan diperbahas oleh para perwakilan di dalam muktamar ini," katanya.

Sehubungan itu, Nasrudin menyeru seluruh kepimpinan Pemuda PAS di semua peringkat untuk mengamalkan budaya itqan (penelitian dan kualiti) dalam semua aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan, supaya agenda tarbiyah, dakwah dan siasah membuahkan hasil yang dicita-citakan.

Dalam ucapannya juga, Nasrudin turut menyeru Pemuda PAS mempersiapkan kekuatan mendepani sifat baru politik Malaysia yang semakin rencam dan jatuh bangun parti itu dalam memposisi perjuangannya sebagai gerakan tarbiyah bergantung kepada kompetensi yang dipamerkan oleh ahlinya mengemukakan polisi dan dasar kerajaan bagi menambat keyakinan rakyat.

"Maka hari ini, ia bukan lagi suatu pilihan tetapi kewajipan yang sangat mendesak bagi setiap individu pemuda mengasah kepakaran masing-masing, menjadi ahli dan menjuarai bidang yang diwakili, sehingga kita buktikan kepada rakyat betapa ‘malaikat tidak dikenali’ (the unknown angel) ini benar-benar mampu untuk diberikan amanah memerintah negara.

"Ini adalah suatu kewajipan kolektif dalam merealisasikan secara praktikal slogan ‘Islam sebagai cara hidup’ dalam ruang dan peluang demokrasi di Malaysia," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.