Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Harun Taib mengakui terdapat ahli yang bercelaru kerana merasakan bahawa isu hudud tidak perlu dibicarakan dalam era tahaluf siayasi (kerjasama politik) susulan pelbagai pandangan dan lontaran idea dari luar parti.

Beliau menegaskan "kecelaruan pemikiran" tersebut timbul kerana kegagalan mereka untuk mengikuti tarbiyah daripada parti itu.

"Dalam isu hudud, ada ahli yang bercelaru merasakan bahawa ianya tidak perlu dibicarakan dalam era Tahaaluf Siyasi. Setengahnya terkeliru dengan pandangan bahawa hudud tidak perlu dilaksanakan kerana keadaan bermasyarakat rakyat Malaysia yang belum kondusif.

"Ini semua adalah kecelaruan pemikiran kerana gagal mengikuti tarbiyah PAS. Perjuangan menegakkan hudud merupakan agenda Islam dan sudah pasti menjadi agenda PAS," kata Harun.

Harun berkata, hudud merupakan undang-undang pencegahan melibatkan jenayah berat yang menggugat keamanan manusia iaitu kecurian, rompakan, zina, tuduhan zina, menghilangkan akal dan murtad keluar daripada Islam.

"Kita berjuang menjadikan hudud sebagai sebahagian daripada undang-undang (Taqnin) berdasarkan kuasa demokrasi yang kita miliki.

"Setelah ianya menjadi undang-undang negara, pelaksanaannya akan dilakukan oleh badan kehakiman untuk menentukan tahap pelaksanaannya.

"Kita telah berjaya membentangkan enakmen jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu menurut kuasa demokrasi yang kita miliki," katanya Harun Harun dalam Muktamar Dewan Ulama PAS pusat di Perdana Resort di Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu pagi ini.

Teks ucaptamanya dibacakan oleh Naib Ketua DUPP Dr Mahfodz Mohamed kerana Harun uzur.

Dalam ucapannya yang bertemakan "Ulama Haraki Benteng 'Izzah Islam', Harun menyeru ulamak supaya "perlu berijtihad" berpandukan al-Qur’an, al-Hadis, Qias yang sahih, waqi’ semasa dan maqasid syar`iyyah berdasarkan perkembangan kehidupan bersiasah mutakhir.

"Untuk mencapai matlamat politik Islam, ulamak berijtihad dalam menentukan wasilahnya. Antaranya, ulamak dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada al-Qur’an dan al-Hadis membenarkan tahaaluf  siyasi dengan parti-parti lain dengan syarat-syaratnya sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam pilihanraya.

"Rentetan daripada ijtihad Tahaaluf Siyasi, ahli-ahli PAS diarahkan mengundi calon-calon pilihanraya bukan Islam di kalangan Pakatan Rakyat," katanya sambil mengingatkan perwakilan sentiasa prihatin dengan syarat-syarat Tahaaluf Siyasi yang telah digariskan.

"Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran kepada syarat-syarat tersebut, ulamak perlu segera menegur kepimpinan parti dan memberikan nasihat," katanya.

ADS