Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tahun 1433H adalah tahun yang mencabar dan dijangka tahun 1434H akan menjadi lebih mencabar, khususnya bila rakyat negeri Selangor memberi mandat mereka kepada Pakatan Rakyat untuk terus mentadbir Negeri Selangor Darul Ehsan.

Penghijrahan Negeri Selangor dari pentadbiran kerajaan yang lama kepada yang baru telah menghasilkan berbagai kebaikan kepada rakyat menerusi program-program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES).  

Hijrah mandat rakyat yang telah berlaku jelas memberi  manafaat kepada rakyat Selangor menerusi beberapa fokus utama; ekonomi, politik, sosial, dan pemeliharaan alam sekitar serta usaha-usaha pemberdayaan masyarakat seperti kewujudan Pusat Wanita Berdaya di seluruh Negeri Selangor.  

Keseluruhan 25 perkara dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 telah dipenuhi kecuali yang memerlukan pindaan-pindaan Akta di peringkat persekutuan, umpamanya untuk memberi jaminan keselamatan kewangan sepanjang hayat kepada suri rumah  menerusi caruman berkala, seperti KWSP atau SOCSO.

Tahun 1433H telah menyaksikan kebangkitan rakyat menyuarakan pandangan mereka dalam Himpunan Bersih, Himpunan Hijau, Himpunan Rakyat demi menegakkan kebenaran dan keadilan sistem-sistem yang mengesani kehidupan dan masa depan rakyat seperti sistem pilihan raya yang adil dan telus, pengagihan sumber dan pendapatan negara yang adil dan saksama serta pengembalian hak rakyat negeri dengan memberi laluan sebaiknya kerajaan negeri mentadbir negeri.  

Dalam konteks negeri Selangor, kembalikan pengurusan SYABAS  kepada Kerajaan negeri dan hendaknya adil serta benar dalam hebahan isu Talam dan AES oleh media arus perdana.

Tahun 1433H telah juga memfokuskan usaha advokasi, perlindungan mangsa dan pendakwaan terhadap keganasan terhadap insan, khususnya wanita.   

“Kembalikan Nikmat Rasa Aman dan Selamat Rakyat” menjadi agenda penting Kerajaan Negeri Selangor selaras dengan cita-cita menjadikan negeri Selangor negeri yang selamat dan sejahtera didiami oleh semua, sama ada insan warganegara atau pun bukan warganegara.

Usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dipertingkatkan demi memenuhi keperluan rakyat kini, seperti perumahan yang mampu dimiliki, wi-fi percuma, penjagaan anak-anak bagi ibubapa yang bekerja dan para ketua keluarga wanita, air percuma, pembaikan infrastruktur, pelaburan untuk anak-anak baru lahir, sumbangan pendidikan kepada pelajar di IPT, Skim Kesihatan Wanita, berbagai skim mikrokredit dan program pemberdayaan ekonomi, dan usaha-usaha pembangunan wanita setempat menerusi Pusat Wanita Berdaya.  

Hasrat penghijrahan dari pentadbiran lama kepada yang baru ialah untuk mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada dengan kos yang minimum ke arah merayatkan sepenuhnya hasil dan khazanah negeri untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat negeri Selangor.

Dalam menggalakkan akses kepada informasi yang tepat dan benar berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, rakyat adalah diseru untuk berhijrah kepada pembacaan dan alat informasi alternatif seperti MediaSelangorku, Selangorkini dan Selangor Times serta bahan-bahan edaran berkaitan isu-isu yang dihangatkan seperti Talam, AES dan juga hasrat Kerajaan untuk mengambilalih Syabas.

SemOga Tahun Baru Hijrah 1434 ini akan menjadikan hubungan antara rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat Kerajaan Negeri Selangor, yang diterajui oleh  Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi lebih sefahaman, berlapang dada, saling nasihat-menasihati dalam amalan amar maaruf nahi mungkar, dan meningkatkan kualiti serta keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri.

Selamat menyambut Tahun Baru 1434H.


RODZIAH ISMAIL adalah pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Negeri Selangor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

 

ADS