Isu amah warga asing jadi tumpuan Muslimat PAS

Isu pembantu rumah warga asing menjadi tumpuan pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-52 di Kota Bharu hari ini apabila usul itu dibahaskan pada muktamar kali ini.
    
Usul mengenai perkara itu dibawa perwakilan Indera Mahkota, Zuriati
Muhammad yang mencadangkan langkah wajar diambil bagi engurangkan pergantungan pembantu rumah warga asing.
    
"Rekod menunjukkan kira-kira 200,000 pembantu rumah warga asing di negara kita yang sebahagiannya warga Indonesia.
    
"Mengapa perlu menggaji orang luar. Pekerjaan ini jangan dianggap kelas terendah dan sudah sampai masanya kita mengambil pekerja tempatan," katanya ketika membawa usul sosial mengenai pembantu rumah itu.
    
Beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan kerjaya pembantu rumah sebagai pekerjaan menarik dengan menawarkan gaji berpatutan termasuk diberikan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
    
Sementara itu, perwakilan Bahagian Batu, Salbiah Abdul Wahab ketika membahaskan isu itu mencadangkan kerajaan mewujudkan institusi melahirkan tenaga kerja dalam bidang itu.
    
"Saya juga mencadangkan agar ada juga kolej-kolej yang turut menawarkan kursus pembantu rumah ini," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.