PERKASA buat laporan polis terhadap Irene Fernandez

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Pahang hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Pengerusi Tenaganita,
Irene Fernandez dan organisasi amal antarabangsa, Equal Right Trust (ERT) yang didakwa mencadangkan hak Bumiputera di negara ini dimansuhkan.

Ketua Penerangan PERKASA Pahang, Muhamad Faiz Hashim membuat laporan itu di Ibupejabat Polis Daerah Kuantan.

Beliau diiringi kira-kira 20 pemimpin dan anggota Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Majlis Belia negeri dan beberapa lagi badan bukan kerajaan (NGO).

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Muhamad Faiz berkata PERKASA juga mendesak Irene dan ERT membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penduduk Bumiputera di negara ini.

Sebuah portal berita semalam menerbitkan artikel hasil kajian ERT dan Tenaganita kononnya kewujudan Perkara 89 dan 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak Bumiputera adalah antara faktor di sebalik diskriminasi kaum di Malaysia.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.